22/12/2008
Bonus RM16.6 juta untuk peneroka Felda Jengka
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
Wan Salman Wan Ismail (berbaju batik) berarak meraikan majlis berkhatan beramai-ramai sempena program 'Kembali Berkhidmat Untuk Masyarakat' di Felda Jengka 15, Maran, Pahang, semalam.
BANDAR JENGKA 21 Dis. - Sebanyak RM16.6 juta diperuntukkan oleh Felda bagi membayar wang insentif atau bonus kepada para peneroka di kawasan Jengka pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu peneroka dikawasan tersebut.
Menurutnya, walaupun harga komoditi sawit kini berada di sekitar RM170 setan metrik dan getah di bawah RM1 sekilogram, namun kerajaan tetap menyediakan wang insentif kepada para peneroka terbabit.
''Ini bukti janji kerajaan membela rakyat tanpa sebarang laungan janji retorik sebagaimana sikap pembangkang yang hanya ingin undi semasa pilihan raya semata-mata.
''Setiap peneroka memperoleh purata RM2,000 untuk digunakan membeli peralatan sekolah anak-anak seperti pakaian, kasut dan buku-buku latihan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program 'Kembali Berkhidmat Untuk Masyarakat' anjuran Alumni Asrama Felda Malaysia (AAFM) di Felda Semarak Jengka 15 di sini semalam.
Hadir sama Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din; Presiden Alumni Asrama Felda Malaysia, Abdul Malek Jalil dan Timbalan Pengarah UiTM Pahang, Mohd. Nasir Ibrahim.
Wan Salman berkata, peneroka Felda Siantan Jengka 19 mendapat insentif paling banyak pada tahun ini iaitu RM846,000, manakala peneroka Felda Semarak terendah iaitu RM134,000.
''Jumlah bayaran bonus atau wang insentif yang diperoleh peneroka itu berdasarkan kepada bilangan mereka yang kekal bersama Felda atau bertindak memilih bertanam secara individu,'' ujarnya.
Justeru katanya, beliau berharap bilangan peneroka yang kembali bersama Felda terus bertambah kerana kerajaan melalui Felda sentiasa akan membantu komuniti ini pada setiap masa.
Memuji
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memuji usaha AAFM menganjurkan program 'Kembali berkhidmat untuk masyarakat' kerana ia berjaya menarik ramai bekas pelajar asrama Felda turun padang menabur bakti kepada masyarakat Felda.
''Ketika ini terdapat kira-kira 11,000 bekas pelajar asrama Felda di seluruh negara yang berjaya dalam pelbagai kerjaya bidang profesional, korporat, politik dan sebagainya,' ' katanya.
Wan Salman menegaskan, bekas pelajar yang berjaya ini akan kembali berkhidmat untuk masyarakat sebagai pemangkin untuk menyedarkan komuniti Felda mengenai kepentingan pendidikan.
Katanya, sokongan dan komitmen pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti ini secara langsung dapat meningkatkan usaha untuk memartabat dan status warga Felda di seluruh negara.
No comments :
Post a Comment