Tuesday, January 5, 2010

Amanat Tahun Baru 2010 Presiden AAFM

Assalamualaikum,
Pertamanya marilah kita mengucapkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana masih diberi beri peluang untuk bertemu dengan tahun baru. Di sini saya mewakili warga kerja AAFM mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 1431H juga tahun Masihi 2010. Doa kami semoga ketibaan tahun baru hijrah ini akan menjadikan diri kita lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Marilah kita mendoakan yang terbaik untuk semua dan juga untuk AAFM kita ini.
Membuka tirai 2010 ini, ada beberapa perkara yang insyaAllah telah diusahakan oleh warga kerja AAFM untuk dilaksanakan bersama-sama dengan Felda dan Yayasan Felda. Untuk pengetahuan bersama, Felda akan melancarkan satu program pelajar Harapan Felda, dimana AAFM telah mendapat kepercayaan Tan Sri Pengerusi Felda untuk melakarkan kertas kerja terbabit, dan juga membantu Felda didalam perlaksanaan dan pemantauannya. Untuk tujuan pemantauan, Unit Pemantauan AAFM akan diketuai oleh En Kamal Mansor dan bagi tujuan ini, dana akan diberikan oleh Yayasan bagi kegunaan ahli-ahli yang sukarela membantu dan melibatkan diri di dalam pemantauan pelajar-pelajar mengikut wilayah masing-masing. Peringkat pemilihan pelajar akan dilaksanakan di dalam bulan Jan dan Feb 2010 ini, dan ahli-ahli akan diberitahu perkembangan selanjutnya. Untuk tujuan ini, saya dan seluruh warga kerja AAFM amat mengharapkan kesediaan sesiapa juga ahli atau bekas pelajar ASB sekiranya berada di wilayah dimana para pelajar itu berada atau wilayah berhampiran, untuk membantu pemantauan sepanjang program berlangsung secara berkala. Yayasan Felda, melalui AAFM ada menyediakan alaun untuk diberikan kepada sesiapa yang melibatkan diri.
Bagi kesinambungan program khidmat masyarakat pula, AAFM akan menganjurkan Khidmat Masyarakat seterusnya seperti dicadangkan di Kerteh, Terengganu pada bulan Mac 2010. Tarikh sebenar akan diumumkan kemudian, dan kami mengharapkan semua ahli atau bekas pelajar dapat sama-sama membantu.
AGM pula akan diadakan juga di bulan Mac 2010, tarikh cadangan ialah pada 20 mac 2010, dan perlu diingat pada tahun ini pemilihan AJK akan diadakan. Jadi saya mengharapkan ramai ahli akan turun untuk memilih peneraju AAFM bagi 2 tahun seterusnya.
Sukacita saya juga maklumkan bahawa AAFM sedang mengusahakan agar anak-anak ahli AAFM yang memenuhi syarat-syarat tertentu dapat diberikan tempat di MRSM Felda di Trolak, yang kini lebih dikenali sebagai Kolej Tun Abdul Razak. Begitu juga dengan Asrama Semai Bakti yang kita sayangi itu. Insya'Allah saya akan ke Felda HQ pada pertengahan Jan ini untuk meneruskan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Felda. Sama-samalah kita berdoa semoga usaha ini berjaya untuk kebaikan anak-anak kita semua.
Harapan saya, agar kita semua dapat bersatu demi mendapatkan apa yang boleh dan mempertahankan apa yang "hak" untuk Agama, Bangsa dan Negara. Kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang dipersoalkan tentang "kepunyaan kita". Apa yang lebih menyedihkan apabila kita Umat Islam diberikan dengan tamparan hebat dengan "halalnya perkataan Allah dalam bible" oleh mahkamah tinggi. Itulah yang sentiasa akan menghantui kita kerana kita tidak cukup kuat untuk menentang.. kerana kita tidak betul-betul bersatu... Mungkin kita tidak begitu merasainya sekarang, tetapi akan menjadi cabaran yang amat hebat untuk anak-cucu kita nanti... sekiranya ini benar-benar berlaku.
Maka mulai tahun 1431H dan 2010M ini, sekali lagi saya menyeru agar kita sebagai bekas pelajar ASB yang hampir 100% adalah beragama Islam untuk bersatu, supaya kita dapat menyuarakan pandangan, permintaan serta bantahan dengan lebih jitu dan bermakna. Ingatlah bahawa setiap orang dari kita mempunyai tanggung-jawab dan kita akan dipersoalkan nanti kerana kealpaan apatah lagi atas rasa tidak peduli.
Bersatulah demi kebaikan Agama dan Bangsa.. jangan jadikan perkara remeh sebagai alasan untuk bersengketa dan memecah-belahkan sesama kita.
Sekian, sekali lagi salam hormat dari saya dan seluruh warga kerja AAFM, dan semoga semua kita akan dapat dan terus memperbaiki kelemahan dan membina kejayaan bersama.
Wassalam.
AMJ
Presiden AAFM

No comments :

Post a Comment