Tuesday, May 29, 2007

UCAPAN TPM on FELDA

Oleh / By :DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABD RAZAK
Tempat / Venue :DEWAN PERDANA FELDA, KUALA LUMPUR
Tarikh / Date. :24-04-2006
Tajuk / Title :PROGRAM BERSAMA PEMIMPIN, AHLI PARLIMEN
DAN ADUN YANG ADA RANCANGAN FELDA


Bismillahirrahmanirrahim

Ass
alamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera

YAB. Menteri Besar Pahang, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Melaka,

YB. Menteri-Menteri, Timbalan–timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen,

YB. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN,

Tan Sri Dr. Yusuf B. Hj. Mohd. Noor,
Pengerusi Felda

Datuk Hj. Khamis B. Md. Som,
Pengarah Besar Felda

Dato’ Bakke Salleh,
Pengarah Urusan Felda Holdings

Hj. Ahmad B. Hj. Maslan,
Pengarah Seranta (Felda), JPM

Pegawai-Pegawai Felda dan Seranta,

Dif-dif Jemputan, Pelajar & Keluarga yang diraikan,

Tuan-Puan yang dihormati sekalian,

A. Tujuan Program

Program anjuran Seranta dan Felda ini bertujuan untuk:

1. Merapatkan hubungan antara pemimpin, Ahli Parlimen & ADUN dengan pengurusan Felda & Seranta.

2. Mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan Felda menjelang usia 50 tahun pada bulan Julai ini.

3. Menerima maklumbalas dan cadangan daripada ahli-ahli Yang Berhormat samada bertulis, berdialog atau pertemuan lain selepas program ini.

Terdapat 278 kawasan rancangan berpeneroka di 55 Parlimen dan 93 DUN di 12 negeri kecuali Wilayah dan Pulau Pinang yang mempunyai Rancangan Felda. Oleh itu, adalah penting para pemimpin politik, pengurusan Felda, pegawai Seranta dan ahli-ahli yang Berhormat sentiasa faham memahami hasrat kita bersama untuk memajukan lagi Felda dan warganya. Visi dan misi kita wajar dijadikan perjuangan bersama.

B. Halatuju Felda

Halatuju Felda untuk 50 tahun akan datang antara lain ialah:

1. Menjadikan warga peneroka sebagai masyarakat contoh di luar bandar dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran, kerjaya, kurang masalah sosial, keharmonian dan keceriaan. Oleh kerana pelbagai kemudahan kita telah berikan, warga Felda wajar menjadi masyarakat terbaik, menjadi teladan dan sebutan contoh di luar rancangan.

2. Menambah pendapatan warga peneroka hingga menjadi golongan menengah sebagai usahawan dalam penternakan, kraftangan, herba, makanan, pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana. Setakat ini 33% atau 34 ribu peneroka telah menjadi usahawan. Felda akan menjadi agensi utama untuk pengeluaran kraf, penternakan lembu, produk herba dan bidang lain yang didapati sesuai.

3. Menjadikan Felda sebagai pelaku global yang berjaya di persada antarabangsa. Felda Holdings mempunyai 49 anak syarikat. Akan membuka ladang sawit di luar negara yang sesuai seperti di Indonesia. Pelbagai usahasama telah pun dimulakan di Pakistan, Hong Kong, China, Afrika Selatan dan Thailand. Di Kuantan misalnya terdapat kilang besar hiliran sawit usahasama dengan Procter & Gamble, sebuah multinasional dari USA. Biodiesel dan biomass telah pun dimula dan akan ditingkatkan.

C. RMK 9 untuk Felda

Dalam Rancangan Malaysia ke 9, (2006-2010) peruntukan infrastruktur untuk jalan kampung, bekalan air, elektrik, dan pembersihan sungai, jumlah yang disediakan oleh Felda ialah hampir RM182 juta. Ini adalah bagi menambah sejumlah RM138 juta yang diperuntukan oleh kerajaan. Ianya tidak termasuk RM150 juta yang diluluskan oleh Felda sebelum ini untuk projek khas bekalan air di Pahang.

Terdapat banyak projek baru yang telah diperuntukan kewangan oleh Felda untuk tahun 2006-2010 yang melibatkan RM161 juta. Ianya ialah seperti pembangunan pusat sukan, dewan serbaguna, Taman IKS, Pusat Pembungkusan Makanan, Taman Integrasi Pertanian, projek pembiakan lembu dan kambing, kilang pelepah / tandan sawit, pusat tuisyen, homestay dan kajian produk kraf dan makanan.

Adalah diumumkan, sejumlah besar peruntukan akan diluluskan oleh Felda untuk membina tiga lagi pusat pertumbuhan di Feldajaya Chini (RM80 juta), Feldajaya Selatan Raja Alias Fasa 2 (RM52 juta), Feldajaya Timur Mempaga Fasa 2 (RM56 juta). 3 Feldajaya sebelum ini telah hampir siap iaitu di Trolak, Mempaga Fasa 1 dan Raja Alias Fasa 1. Taman Teknologi Herba di Lanchang (RM50 juta) akan dibangunkan dan sebuah MRSM Felda di Trolak juga akan dibina. MRSM ini ialah untuk faedah 700 pelajar setiap tahun yang 80% adalah anak peneroka dengan anggaran kos pembinaan RM50 juta.

Perumahan generasi baru Felda telah di bina di 4 tempat iaitu di Bukit Goh, Lepar Hilir, Mempaga dan Keratong 3. Semuanya telah hampir siap : Sukacita diumumkan sebanyak 3 lagi kawasan perumahan generasi baru akan dibina iaitu di Pasak, Kota Tinggi (RM48 juta), Jengka 19, di Kuala Krau (RM50 juta) dan Laka Selatan, di Kubang Pasu (RM32 juta).

Projek yang disebutkan itu adalah dalam tempoh tertentu dan yang berbentuk pembangunan akan mendapat pulangan balik dengan pelbagai cara. Projek perumahan misalnya adalah dijual kepada generasi baru Felda tetapi dengan subsidi sekitar RM5-RM6 ribu seunit bagi membantu mereka.

Jumlah keseluruhan peruntukan Felda untuk projek infrastruktur ( RM 182 juta ), projek baru (RM 161 juta), 3 Feldajaya (RM 188 juta), Taman Herba (RM 50 juta), MRSM Felda (RM 50 juta) dan 3 perumahan generasi baru (RM 130 juta) ialah RM 761 juta. Ditambah peruntukan kerajaan RM 138 juta jumlahnya ialah RM 900 juta untuk RMK 9.

D. Peruntukan Geran 2006

Sebanyak RM232 juta peruntukan dalam bentuk geran akan dikeluarkan oleh Felda dalam tahun 2006 ini sahaja. Ianya melibatkan Skim Tuisyen (RM20 juta), insentif pelajar ke IPTA /IPTS (RM3 juta), Program Pelajar Cemerlang (RM2 juta), membaiki rumah peneroka (RM5 juta), keceriaan kampung (RM2.5 juta), infrastruktur (RM15 juta), latihan kemahiran anak peneroka (RM50 juta), dan kemungkinan pembayaran wang ehsan raya / tahun baru (RM35 juta) dan insentif produktiviti bonus kepada peneroka (RM100 juta). RM 232 juta ini hanya geran setahun dan bukan untuk rancangan 5 tahun yang jumlahnya belum dapat dipastikan.

Mengenai latihan kemahiran kepada anak peneroka Felda; mereka hanya mempunyai 2 pilihan iaitu samada memasuki IPTA / IPTS atau diberikan latihan kemahiran. Pada tahun lepas sebanyak RM25 juta diperuntukan untuk melatih 5295 anak peneroka di 38 buah institusi. Kesan latihan ini adalah positif, serampang banyak mata seperti dapat mengurangkan masalah sosial, memberi peluang pekerjaan dan melatih mereka menjadi usahawan. Pada tahun ini seramai 7000 orang lagi akan dilatih dengan peruntukan geran ditambah 2 kali ganda kepada RM50 juta.

Telah 2 tahun berturut-turut untuk kali pertama dalam sejarah Felda, peneroka diberi insentif produktiviti ataupun bonus. Pada tahun lepas sebanyak RM97.1 juta diagihkan dan tahun ini RM100 juta telah disediakan. Ianya adalah untuk memastikan hasil peneroka dijual di kilang Felda dan peneroka menjadi lebih produktif. Kita juga telah meningkatkan wang sara hidup sewaktu tanam semula pada tahun lepas daripada RM500 sebulan kepada RM750 sebulan bagi membantu pendapatan sewaktu kebun belum mengeluarkan hasil.

E. Sumber kewangan Felda

Sumber kewangan Felda adalah teguh malahan lebih baik daripada beberapa kerajaan negeri. Namun, sumber itu daripada ladang milik Felda dan perniagaan lain adalah bergantung kepada turun naik harga sawit di pasaran dunia. Kita akan menguruskan sumber dengan professional dan amanah. Kekayaan baru wajar dicari dalam dan luar negara bagi menambah dana yang ada.

Pada prinsipnya, kewangan Felda akan diagihkan untuk 3 faedah berikut:

1. Diberi balik kepada peneroka dan generasi baru Felda seperti melalui pemberian insentif produktiviti, wang ehsan raya, latihan kemahiran, pendidikan, latihan usahawan dan lain-lain.

2. Diberi balik untuk membantu program kerajaan seperti peruntukan tuisyen, infrastruktur, jalan, elektrik, paip air yang sepatutnya adalah tanggungjawab kerajaan pusat atau negeri.

3. Pelaburan dalam sektor strategik dan menguntungkan dalam dan luar negara. Ianya akan dibuat dengan berhati-hati, professional dan menguntungkan. Faedah yang diperolehi akan diagih semula berbentuk dividen kepada peneroka Felda melalui pelaburan mereka di Koperasi Permodalan Felda (KPF).

F. Generasi Baru / Belia Felda

Hampir separuh peneroka berusia antara 50-60 tahun. Oleh itu, selain meneruskan pelbagai program kepada mereka, tumpuan Felda sewajarnya ialah untuk membangun generasi baru. Warga Felda hampir berjumlah 750 ribu- 1 juta orang. Terdapat hampir 500 ribu orang atau separuh adalah generasi ke dua / generasi baru Felda dan mereka mempunyai perkembangan tahap pendidikan yang baik. Sukacita dimaklumkan bahawa , data terkini mendapati anak peneroka seramai 161 orang mempunyai Phd, 1257 sarjana, 21,901 sarjana muda ; 42,513 sijil dan diploma. Namun 246,456 orang hanya setakat SPM yang perlu diberikan pelbagai kemahiran kepada mereka terutama kepada yang masih belum mempunyai pekerjaan yang memuaskan.

Anak peneroka yang berjaya dalam bidang profesional pula contohnya 322 orang sebagai peguam, 740 doktor, jurutera 3272, arkitek 985 dan akauntan 1369 orang. Ini adalah pencapaian yang agak memuaskan dan akan terus ditambah bilangannya.

Sukacita dalam majlis ini diumumkan persetujuan secara dasar bahawa Seranta (Felda) JPM, dengan kerjasama Felda dan Majlis Belia Felda akan mengadakan anugerah-anugerah tahunan peringkat kebangsaan seperti berikut:

1. Tokoh Belia Felda peringkat kebangsaan
2. Tokoh Beliawanis Felda peringkat kebangsaan
3. Persatuan belia terbaik keseluruhan
4. Persatuan belia terbaik kemahiran dan pendidikan
5. Persatuan belia terbaik sukan dan kebudayaan
6. Persatuan belia terbaik perniagaan dan keusahawanan
7. Persatuan belia terbaik khidmat masyarakat
8. Persatuan belia terbaik membanteras gejala sosial

Hadiah-hadiah setaraf dan perincian anugerah boleh dibincangkan kemudian. Ianya boleh disampaikan pada hujung tahun ini dalam satu program Seminar Kebangsaan Belia Felda misalnya. Semoga anugerah seumpama ini dapat mencapai pelbagai objektif pembasmian gejala sosial, melatih semangat kepimpinan, keusahawanan serta menekankan pentingnya ilmu, kemahiran dan pendidikan dikalangan generasi baru dan Belia Felda.

G. Penerokaan era baru: Perubahan Minda

Kita perlu membuka minda masyarakat peneroka ke dunia luar, samada ke luar kawasan rancangan mereka iaitu ke kampong tradisi atau pekan atau bandar. Bukan bermakna sekarang tiada percampuran, tetapi tiada usaha yang agak terancang. Kebaikan keluar daripada kepompong ini ialah:

1. Supaya wujud minda / mentaliti terbuka melihat segala bantuan yang diberi kepada mereka dan menimbulkan rasa syukur dan terima kasih dibanding saudara mara, orang lain yang tidak mempunyai tanah dan kurang kemudahan.

2. Menjadi penyampai tentang kejayaan Felda kepada orang lain dan mereka wajar berkongsi latihan, pengalaman, kemudahan dengan masyarakat luar agar sedikit sebanyak limpahan rahmat di Felda boleh dirasai oleh orang lain juga.

Antara contoh penerokaan era baru ini ialah :

1. Membuat lawatan secara terancang ke Kuala Lumpur dan Putrajaya, ke kampung tradisional yang berjaya, ke IPTA/ IPTS, ke kilang PKS Bumiputera dan lain-lain.

2. Membuat kerjasama perniagaan dengan pengusaha luar kawasan rancangan agar wujud jaringan pemasaran yang lebih luas.

3. Memasuki bidang yang bukan tradisi getah dan kelapa sawit termasuk penternakan, kraftangan, herba, makanan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Bidang lain seperti bioteknologi, biodiesel, biomass, ICT dan yang mempunyai potensi berkembang wajar dikaji dan diusahakan jika sesuai dan menguntungkan.

4. Berkahwin (kepada yang belum) dengan bukan anak peneroka. Perkahwinan campur seumpama ini dapat mengembangkan warga peneroka kepada kehidupan lain di luar kepompong serta dapat menyebarkan rahmat Felda kepada masyarakat bukan peneroka.

Keluar dari kepompong, berfikir di luar kotak ( think out of the box ) dan keluar daripada kejumudan dan kebiasaan adalah penerokaan era baru yang wajar difahami oleh pemimpin, pegawai dan warga peneroka. Jika kita ingin berjaya dalam era globalisasi, kita mesti sanggup berubah dan berani menghadapi dunia tanpa sempadan dalam abad ke 21 yang serba canggih dan moden ini.

Rumusan

Felda akan terus kita gemilangkan. Kerjasama 4 kumpulan; warga peneroka, pengurusan Felda, agensi berkaitan Felda dan para pemimpin yang ada hubungan, amatlah penting. Segala perancangan hanya akan berjaya jika semua pihak berganding bahu, bersama berjuang dengan matlamat iaitu membina warga Felda yang terbaik dan menjadi contoh untuk masyarakat luar bandar. Penerokaan era baru adalah perubahan minda kea rah 50 tahun kedua yang lebih gemilang.


KOMEN: Minta dipercepatkan penubuhan MRSM Felda........




No comments :

Post a Comment