Monday, March 24, 2008

RM30 juta naik taraf Asrama Semai Bakti Felda


Kerja naik taraf setanding hotel tiga bintang jadi pusat pendidikan elit: Yusof Noor


KUALA LUMPUR: Felda akan menaik taraf semua Asrama Semai Bakti seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan generasi baru warganya dalam usaha melahirkan tenaga kerja profesional sekali gus menjana modal insan yang dapat memacu pembangunan negara.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Yusof Noor, berkata sebagai permulaan kerja menaik taraf kemudahan Asrama Bakti Semai Bakti di Kuantan sama dengan kelengkapan dan kemudahan hotel tiga bintang sebagai pusat kecemerlangan pendidikan elit pertama Felda sudah dilakukan membabitkan kos RM30 juta.

"Langkah untuk menumpukan pendidikan di Felda ini adalah sebahagian daripada perkara dirancang Datuk Seri Najib (Timbalan Perdana Menteri) memastikan tidak ada anak Felda tertinggal dalam bidang kemahiran, akademik dan profesional.


"Kita mempunyai empat Asrama Semai Bakti di seluruh negara dan saya berpendapat ia tidak harus kekal seperti yang kita kenali sebelum ini. Oleh itu, kita mengambil keputusan untuk memilih satu daripada asrama berkenaan untuk dinaik taraf sebagai asrama elit generasi baru Felda di Kuantan bagi memberi peluang kepada anak peneroka dan anak kakitangan belajar dengan selesa," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Alumni Asrama Felda Malaysia, di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun teras perniagaan Felda lebih kepada sektor perladangan tetapi tumpuan untuk pembangunan modal insan dengan memberikan pendidikan terbaik kepada anak peneroka dan kakitangannya dimulakan sejak 1975.

Sehubungan itu, beliau berharap asrama yang boleh memuatkan 400 pelajar dan sudah dinaikkan taraf itu dapat menyaingi institusi pendidikan terkenal di negara ini seperti Kolej Melayu Kuala Kangar (MCKK), Perak dan Kolej Tengku Kursiah, Negeri Sembilan dalam melahirkan generasi Felda profesional.

Hadir sama, Penaung Alumni Asrama Felda yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Datuk Ahmad Faiz Abdul Hamid dan Pemangku Presiden Protem, Abdul Malik Jalil.

Setakat ini, Mohd Yusof berkata, seramai 11,900 anak peneroka dan kakitangan Felda tidak termasuk yang belajar di institusi pendidikan lain seluruh negara menghuni Asrama Semai Bakti yang mana hampir semuanya berjaya dalam akademik dan karier masing-masing.

Malah, beliau berkata, sejak Felda ditubuhkan pada 1975, hampir 40 ribu anak peneroka dan anak kakitangannya berjaya menyandang pelbagai jawatan penting antaranya peguam, doktor, jurutera dan pentadbir negara.

Mohd Yusof berkata, walaupun asrama sebagai tempat tinggal namun Felda berusaha menyediakan kelas tuisyen termasuk memberi latih tubi menguasai bahasa Inggeris tiga bulan untuk membantu pelajar meningkatkan pelajaran dan kemahiran berkomunikasi bahasa antarabangsa itu.

Beliau berkata, Felda menjalin kerjasama dengan bekas pelajar asrama itu yang berjaya untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar, bagi membolehkan mereka berjaya dalam karier masing-masing.

UTUSAN MALAYSIA - RM30 juta naik taraf Asrama Semai Bakti Felda

KUALA LUMPUR 23 Mac – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)
memperuntukkan RM30 juta bagi menaiktaraf Asrama Semai Bakti (ASB) di
Kuantan, Pahang untuk meningkatkan prestasi akademik anak peneroka.

Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, ASB Kuantan
yang merupakan antara empat asrama di seluruh negara akan dipilih
sebagai asrama Felda bertaraf elit berdasarkan kemudahan dan
infrastruktur yang lengkap.

Katanya, buat masa ini sebanyak 400 pelajar ditempatkan di ASB Kuantan.

"Ini memberi peluang kepada warga Felda membuktikan mereka sebenarnya
berkemampuan seperti pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau
asrama-asrama elit yang lain," katanya kepada para pemberita selepas
merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Alumni Asrama Felda di
Dewan Merak Kayangan Balai Felda di sini hari ini.

Selain ASB Kuantan katanya, Felda mempunyai tiga lagi asrama iaitu di
Kelana Jaya, Datuk Keramat dan Johor Bahru.

"Tiga lagi ASB akan dinaik taraf secara berperingkat bagi memenuhi
hasrat Felda untuk memberi pendidikan berkualiti kepada peneroka,"
ujarnya.

Dalam pada itu, Yusof menyeru Persatuan Alumni Asrama Felda memainkan
peranan kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan,
pentadbiran, guaman dan kejuruteraan.

Penubuhan asrama bertaraf elit itu juga katanya, dapat menangkis
tanggapan sesetengah pihak kononnya terdapat banyak masalah sosial di
kalangan anak-anak peneroka di tanah rancangan.

Katanya, keberkesanan peranan asrama tersebut terbukti dengan 11,900
pelajarnya telah berjaya melanjutkan pengajian ke universiti tempatan
dan luar negara dalam pelbagai bidang.

Tambahnya, jumlah tersebut tidak termasuk anak-anak peneroka yang
menetap di asrama dan mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran,
akademik dan profesional yang kini mencapai lebih daripada 40,000
orang.

"Asrama ini memberi kemudahan kepada anak-anak Felda untuk belajar
dengan lebih berdisiplin dan maju dalam akademik melalui kelas-kelas
tuisyen yang diwujudkan di situ," jelas Mohd. Yusof.

Selain itu katanya, selaras dengan matlamat Felda untuk ke peringkat
global, Asrama Semai Bakti Kelana Jaya turut menyediakan kelas
intensif bahasa Inggeris selama tiga bulan bagi lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).

Felda juga katanya, turut bercadang untuk menubuhkan kolej
kejururawatan pada masa akan datang.

"Sebagai persediaan awal, anak-anak peneroka kini mengikuti kursus
penjagaan kesihatan di ASB Kelana Jaya bagi peringkat persijilan,"
katanya.

Sunday, March 23, 2008

Asrama bertaraf hotel tiga bintang untuk anak-anak Felda

23/03/2008 5:44pm

KUALA LUMPUR 23 Mac — Felda akan mempunyai asrama elit setaraf dengan
hotel tiga bintang yang pertama di negara ini apabila Asrama Semai
Bakti Felda di Kuantan, Pahang siap dibaik pulih tidak lama lagi, kata
Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Katanya, apabila siap nanti asrama itu, yang mampu memuatkan 400
pelajar dalam satu-satu masa, mampu memberikan keselesaan tempat
tinggal dan belajar kepada para penghuninya.

Kos untuk membaik pulih bangunan asrama yang terletak di muara Sungai
Pahang itu adalah kira-kira RM30 juta.

"Felda juga berbangga asrama yang bermasalah itu kini menjadi asrama
tercanggih yang lengkap dengan prasarana moden, malah tidak
keterlaluan jika kita katakan ia setaraf dengan hotel tiga bintang,"
katanya selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Persatuan Alumni
Asrama Felda Malaysia di sini, hari ini.

Felda mempunyai empat buah Asrama Semai Bakti, masing-masing di Datuk
Keramat, Kuala Lumpur; Kelana Jaya, Selangor; Kuantan, Pahang dan
Johor Baharu di Johor.

Sejak penubuhan Asrama Semai Bakti pada 1975, 11,900 pelajar sudah
mendapat manfaatnya.

Yusof berkata, sehingga kini kira-kira 40,000 anak Felda di seluruh
negara sudah bergelar profesional seperti menjadi doktor pakar,
peguam, ahli politik, pensyarah, pentadbir dan ahli korporat berjaya.

Kejayaan anak-anak Felda di bidang akedemik dan pekerjaan itu, kata
beliau, membuktikan bahawa anak-anak tanah rancangan yang dulunya
dianggap anak golongan kelas ketiga, juga mampu menjadi kumpulan elit
sebenar jika diberi peluang sama rata dengan anak-anak orang kelas
menengah.

"Bukan hanya sekolah berasrama penuh seperti MCKK (Kolej Melayu Kuala
Kangsar) di Perak dan Kolej Tengku Kursiah di Negeri Sembilan sahaja
dikenali sebagai sekolah dan asrama elit, Insya-Allah kita akan
buktikan yang kumpulan elit sebenar mampu dicetuskan anak-anak Felda
di sini (Asrama Semai Bakti)," tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan Felda akan menaik taraf asramanya di
Kelana Jaya sebagai sebuah kolej, Yusof berkata, asrama itu masih
berfungsi seperti biasa di samping menjadi kolej persediaan bagi
kursus kejururawatan dan Pusat Bahasa Inggeris bagi anak-anak Felda
lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kita akan ada sebuah Kolej Kejururawatan Felda sendiri tidak lama
lagi dan sebagai persediaan kita gunakan dulu asrama di Kelana Jaya
sebagai kampus sementara untuk kursus Penjagaan Kesihatan bagi
melayakkan bakal pelatih kejururawatan meneruskan kursus mereka
nanti," katanya.

Mengenai kelas Bahasa Inggeris, Yusof berkata, setiap sesi berlangsung
selama tiga bulan dan ia bertujuan menyediakan pelajar terbabit untuk
menjadi kumpulan penggerak utama kepada segala urusan Felda baik dalam
mahupun di luar negara.

Yusof berkata, beliau amat berbangga kerana anak-anak Felda yang
mengikuti kelas khas Bahasa Inggeris itu kini bukan sahaja mampu
bercakap bahasa Inggeris malah juga boleh berkomunikasi dengan yakin
menggunakan bahasa Inggeris.

"Felda boleh berbangga kerana orang dalam sendiri (anak-anak Felda)
mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik di samping
mengendalikan semua urusan termasuk perniagaan dalam mahupun di luar
negara," katanya sambil menambah bahawa Felda kini mempunyai rangkaian
perniagaan di Toronto (Kanada) dan Boston (Amerika Syarikat) dan
memerlukan komunikator berbahasa Inggeris sendiri. - Bernama

Friday, March 21, 2008

Pesanan Presiden Protem AAF - Rayuan ke 1st AGM

Salam,

Kepada semua bekas pelajar Asrama Felda saya merayu kepada saudara/i
semua agar dapat menghadirkan diri beramai-ramai ke AGM AAF yg bakal
berlangsung pada 23 Mac ini.

Jumlah kehadiran saudara/i akan memberikan first impression kepada
Pegawai2 Kanan Felda mengenai sejauh mana persediaan dan kesungguhan
kita semua untuk menghidupkan AAF. First impression ini penting kerana
ia akan menjadi titik tolak kepada mereka untuk memberikan sokongan kpd
AAF di masa hadapan. Sungguhpun AAF akan berusaha untuk berdiri di atas
kaki sendiri, namun kita tidak mungkin berjaya tanpa sokongan Felda.

Jika jumlah kehadiran kurang memuaskan, ia akan memberi malu kepada org2
yg sebelum ini telah memberi sokongan kpd kita misalnya Dato Ahmad Faiz,
bekas guru dan lain2. Lebih malu lagi, adalah diri kita sendiri. Dalam
keadaan kita yg telah berjaya dalam pendidikan, berjaya dalam karier
masing2 dan telah menimba berbagai2 pengalaman hidup, kita masih lagi
gagal untuk bersatu hati dan memberi sokongan kepada persatuan yg
diilhamkan untuk kebaikan diri kita sendiri, anak2 kita dan golongan
kita di Felda. Bayangkan setelah lebih 30 tahun AF wujud, baru sekarang
kita berjaya mendaftarkan AAF.

Perlukah Alumni ini? Tepuk dada tanya selera. Rasionalnya hampir
keseluruhan kita mengatakan perlu. Apa lagi? Perahu dah di air, dayung
dah di tangan, tidak sanggupkah menongkah gelombang?

Perbezaan pandangan, perbezaan pencapaian akademik, perbezaan kemahiran
dan perbezaan apa2 lagi..memang dialu2kan dalam Alumni ini. Perbezaan
inilah yang bakal menjadi tiang kepada persatuan kita sekiranya kita
dapat mengadunkan semua perbezaan ini dan membentuknya menjadi suatu
tekad untuk menjayakan AAF. Soal rendah diri, sombong, disisih, menyisih
dan sebagainya tidak timbul sekiranya kita semua jujur dan ikhlas.
Tinggi rendahnya nilai diri seseorang bukan semata2 kepada pencapaiannya
tetapi bagaimana ia mengatur diri dan pencapaiannya untuk kesejahteraan
keluarganya, masyarakatnya dan seterusnya.

Marilah kita sama2 menjayakan AGM ini. Hanya tinggal 2 hari sahaja lagi.
Beritahu dan jemput senior, sebaya dan junior untuk hadir. Saya memohon
maaf kerana tidak dapat hadir. Saya baru timbul dari Laut Mediterranean,
bila saya timbul, saya ada kesempatan 20 minit untuk menghantar e-mail
sebelum saya tenggelam semula. Sekurang2nya dengan mengajak saudara/i
hadir ke AGM, ia akan menjadi sumbangan saya kpd AAF, walaupun saya tahu
ia tidak seberapa.

Rayuan melambangkan kelemahan, tetapi sekiranya ini saja jalan untuk
saya mengharapkan kehadiran saudara/i, saya tidak malu untuk merayu,
kerana saudara/i adalah abg, kakak dan adik saya dulu yg sama2 belajar
dan hidup di Tanah Rancangan dan Asrama Felda.

Malik, Ani, Suria, DD, Maz, Salmee, Zack, Dr Hisham dan semua ahli
Proteam, i miss u all, it has been a great pleasure working with u. It
is really unfortunate not to be around u when it is really matter. My
heart is with AAF, i wish u, all the best. Salam n syabas. Semoga AGM
AAF berjalan dengan lancar dan mencapai objektif.

Anuar
Mediterranean Sea

Wednesday, March 5, 2008

Menjelang 1st AGM AAF

Assalamualaikum semua WARGA ASRAMA…

Apa khabar semua? Doa kami kawan-kawan semua sentiasa sihat sejahtera. Mesyuarat Agong (AGM) kita yang pertama hampir menjelang tiba. Kepada kawan-kawan yang masih belum beri jawapan, silalah berbuat demikian kerana kami telah melanjutkan tempoh hingga 13 Mac 2008. Untuk pengetahuan kawan-kawan semua Y Bhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi FELDA telah bersetuju untuk merasmikan majlis kita nanti, begitu juga turut hadir ialah dif-dif kehormat yang lain.

Jadi jangan lepaskan peluang ini untuk bersama Abang Zahran, Ibu Siti Aishah, Ustazah Zainah tak lupa juga Abang Faiz kita yang dikasihi kerana beliau juga turut hadir selaku Penaung Persatuan Alumni kita. Marilah kita bersama-sama sekali lagi berkumpul, bertanya khabar dan berkenalan dengan bekas pelajar dari Asrama Semai Bakti FELDA Kuala Lumpur, Kelana Jaya, Kuantan dan Johor Bahru dan mengeratkan tali silaturrahim di antara satu sama lain. Kepada yang masih belum menjadi ahli silalah berbuat demikian kerana anda semua layak untuk bersama menghadiri mesyurat agong tersebut seterusnya memilih calon-calon pilihan anda untuk penggal seterusnya.

Kawan-kawan semua digalakkan berada seawal mungkin di Dewan Merak Kayangan kerana kaunter pendaftaran dibuka seawal 8.00 pagi, 23 Mac 2008. Seelok-eloknya datanglah pada hari Sabtu supaya kawan-kawan semua tidak tergopoh-gapah untuk bersama menghadiri mesyurat nanti. Untuk memudahkan perjalanan serta perancangan kawan-kawan untuk hadir pada AGM Persatuan Alumni Asrama Felda pada 23 March nanti, bersama ini kami sertakan senarai tempat-tempat penginapan yang selesa dan berpatutan yang telah disusun oleh adik Lenny kita wakil daripada Asrama Kuantan. Booking serta pembayaran harus dibuat oleh tuan/puan sendiri.

JUMPA ANDA SEMUA DI DEWAN MERAK KAYANGAN 23 MAC 2008 !!!!!!!! Wasallam.....

Zakaria
PROTEM