Monday, March 24, 2008

UTUSAN MALAYSIA - RM30 juta naik taraf Asrama Semai Bakti Felda

KUALA LUMPUR 23 Mac – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)
memperuntukkan RM30 juta bagi menaiktaraf Asrama Semai Bakti (ASB) di
Kuantan, Pahang untuk meningkatkan prestasi akademik anak peneroka.

Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, ASB Kuantan
yang merupakan antara empat asrama di seluruh negara akan dipilih
sebagai asrama Felda bertaraf elit berdasarkan kemudahan dan
infrastruktur yang lengkap.

Katanya, buat masa ini sebanyak 400 pelajar ditempatkan di ASB Kuantan.

"Ini memberi peluang kepada warga Felda membuktikan mereka sebenarnya
berkemampuan seperti pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau
asrama-asrama elit yang lain," katanya kepada para pemberita selepas
merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Alumni Asrama Felda di
Dewan Merak Kayangan Balai Felda di sini hari ini.

Selain ASB Kuantan katanya, Felda mempunyai tiga lagi asrama iaitu di
Kelana Jaya, Datuk Keramat dan Johor Bahru.

"Tiga lagi ASB akan dinaik taraf secara berperingkat bagi memenuhi
hasrat Felda untuk memberi pendidikan berkualiti kepada peneroka,"
ujarnya.

Dalam pada itu, Yusof menyeru Persatuan Alumni Asrama Felda memainkan
peranan kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan,
pentadbiran, guaman dan kejuruteraan.

Penubuhan asrama bertaraf elit itu juga katanya, dapat menangkis
tanggapan sesetengah pihak kononnya terdapat banyak masalah sosial di
kalangan anak-anak peneroka di tanah rancangan.

Katanya, keberkesanan peranan asrama tersebut terbukti dengan 11,900
pelajarnya telah berjaya melanjutkan pengajian ke universiti tempatan
dan luar negara dalam pelbagai bidang.

Tambahnya, jumlah tersebut tidak termasuk anak-anak peneroka yang
menetap di asrama dan mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran,
akademik dan profesional yang kini mencapai lebih daripada 40,000
orang.

"Asrama ini memberi kemudahan kepada anak-anak Felda untuk belajar
dengan lebih berdisiplin dan maju dalam akademik melalui kelas-kelas
tuisyen yang diwujudkan di situ," jelas Mohd. Yusof.

Selain itu katanya, selaras dengan matlamat Felda untuk ke peringkat
global, Asrama Semai Bakti Kelana Jaya turut menyediakan kelas
intensif bahasa Inggeris selama tiga bulan bagi lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).

Felda juga katanya, turut bercadang untuk menubuhkan kolej
kejururawatan pada masa akan datang.

"Sebagai persediaan awal, anak-anak peneroka kini mengikuti kursus
penjagaan kesihatan di ASB Kelana Jaya bagi peringkat persijilan,"
katanya.

No comments :

Post a Comment