Kerja naik taraf setanding hotel tiga bintang jadi pusat pendidikan elit: Yusof Noor
KUALA LUMPUR: Felda akan menaik taraf semua Asrama Semai Bakti seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan generasi baru warganya dalam usaha melahirkan tenaga kerja profesional sekali gus menjana modal insan yang dapat memacu pembangunan negara.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Yusof Noor, berkata sebagai permulaan kerja menaik taraf kemudahan Asrama Bakti Semai Bakti di Kuantan sama dengan kelengkapan dan kemudahan hotel tiga bintang sebagai pusat kecemerlangan pendidikan elit pertama Felda sudah dilakukan membabitkan kos RM30 juta.
"Langkah untuk menumpukan pendidikan di Felda ini adalah sebahagian daripada perkara dirancang Datuk Seri Najib (Timbalan Perdana Menteri) memastikan tidak ada anak Felda tertinggal dalam bidang kemahiran, akademik dan profesional.
"Kita mempunyai empat Asrama Semai Bakti di seluruh negara dan saya berpendapat ia tidak harus kekal seperti yang kita kenali sebelum ini. Oleh itu, kita mengambil keputusan untuk memilih satu daripada asrama berkenaan untuk dinaik taraf sebagai asrama elit generasi baru Felda di Kuantan bagi memberi peluang kepada anak peneroka dan anak kakitangan belajar dengan selesa," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Alumni Asrama Felda Malaysia, di sini, semalam.
Beliau berkata, walaupun teras perniagaan Felda lebih kepada sektor perladangan tetapi tumpuan untuk pembangunan modal insan dengan memberikan pendidikan terbaik kepada anak peneroka dan kakitangannya dimulakan sejak 1975.
Sehubungan itu, beliau berharap asrama yang boleh memuatkan 400 pelajar dan sudah dinaikkan taraf itu dapat menyaingi institusi pendidikan terkenal di negara ini seperti Kolej Melayu Kuala Kangar (MCKK), Perak dan Kolej Tengku Kursiah, Negeri Sembilan dalam melahirkan generasi Felda profesional.
Hadir sama, Penaung Alumni Asrama Felda yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Datuk Ahmad Faiz Abdul Hamid dan Pemangku Presiden Protem, Abdul Malik Jalil.
Setakat ini, Mohd Yusof berkata, seramai 11,900 anak peneroka dan kakitangan Felda tidak termasuk yang belajar di institusi pendidikan lain seluruh negara menghuni Asrama Semai Bakti yang mana hampir semuanya berjaya dalam akademik dan karier masing-masing.
Malah, beliau berkata, sejak Felda ditubuhkan pada 1975, hampir 40 ribu anak peneroka dan anak kakitangannya berjaya menyandang pelbagai jawatan penting antaranya peguam, doktor, jurutera dan pentadbir negara.
Mohd Yusof berkata, walaupun asrama sebagai tempat tinggal namun Felda berusaha menyediakan kelas tuisyen termasuk memberi latih tubi menguasai bahasa Inggeris tiga bulan untuk membantu pelajar meningkatkan pelajaran dan kemahiran berkomunikasi bahasa antarabangsa itu.
No comments :
Post a Comment