Sunday, March 23, 2008

Asrama bertaraf hotel tiga bintang untuk anak-anak Felda

23/03/2008 5:44pm

KUALA LUMPUR 23 Mac — Felda akan mempunyai asrama elit setaraf dengan
hotel tiga bintang yang pertama di negara ini apabila Asrama Semai
Bakti Felda di Kuantan, Pahang siap dibaik pulih tidak lama lagi, kata
Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Katanya, apabila siap nanti asrama itu, yang mampu memuatkan 400
pelajar dalam satu-satu masa, mampu memberikan keselesaan tempat
tinggal dan belajar kepada para penghuninya.

Kos untuk membaik pulih bangunan asrama yang terletak di muara Sungai
Pahang itu adalah kira-kira RM30 juta.

"Felda juga berbangga asrama yang bermasalah itu kini menjadi asrama
tercanggih yang lengkap dengan prasarana moden, malah tidak
keterlaluan jika kita katakan ia setaraf dengan hotel tiga bintang,"
katanya selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Persatuan Alumni
Asrama Felda Malaysia di sini, hari ini.

Felda mempunyai empat buah Asrama Semai Bakti, masing-masing di Datuk
Keramat, Kuala Lumpur; Kelana Jaya, Selangor; Kuantan, Pahang dan
Johor Baharu di Johor.

Sejak penubuhan Asrama Semai Bakti pada 1975, 11,900 pelajar sudah
mendapat manfaatnya.

Yusof berkata, sehingga kini kira-kira 40,000 anak Felda di seluruh
negara sudah bergelar profesional seperti menjadi doktor pakar,
peguam, ahli politik, pensyarah, pentadbir dan ahli korporat berjaya.

Kejayaan anak-anak Felda di bidang akedemik dan pekerjaan itu, kata
beliau, membuktikan bahawa anak-anak tanah rancangan yang dulunya
dianggap anak golongan kelas ketiga, juga mampu menjadi kumpulan elit
sebenar jika diberi peluang sama rata dengan anak-anak orang kelas
menengah.

"Bukan hanya sekolah berasrama penuh seperti MCKK (Kolej Melayu Kuala
Kangsar) di Perak dan Kolej Tengku Kursiah di Negeri Sembilan sahaja
dikenali sebagai sekolah dan asrama elit, Insya-Allah kita akan
buktikan yang kumpulan elit sebenar mampu dicetuskan anak-anak Felda
di sini (Asrama Semai Bakti)," tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan Felda akan menaik taraf asramanya di
Kelana Jaya sebagai sebuah kolej, Yusof berkata, asrama itu masih
berfungsi seperti biasa di samping menjadi kolej persediaan bagi
kursus kejururawatan dan Pusat Bahasa Inggeris bagi anak-anak Felda
lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kita akan ada sebuah Kolej Kejururawatan Felda sendiri tidak lama
lagi dan sebagai persediaan kita gunakan dulu asrama di Kelana Jaya
sebagai kampus sementara untuk kursus Penjagaan Kesihatan bagi
melayakkan bakal pelatih kejururawatan meneruskan kursus mereka
nanti," katanya.

Mengenai kelas Bahasa Inggeris, Yusof berkata, setiap sesi berlangsung
selama tiga bulan dan ia bertujuan menyediakan pelajar terbabit untuk
menjadi kumpulan penggerak utama kepada segala urusan Felda baik dalam
mahupun di luar negara.

Yusof berkata, beliau amat berbangga kerana anak-anak Felda yang
mengikuti kelas khas Bahasa Inggeris itu kini bukan sahaja mampu
bercakap bahasa Inggeris malah juga boleh berkomunikasi dengan yakin
menggunakan bahasa Inggeris.

"Felda boleh berbangga kerana orang dalam sendiri (anak-anak Felda)
mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik di samping
mengendalikan semua urusan termasuk perniagaan dalam mahupun di luar
negara," katanya sambil menambah bahawa Felda kini mempunyai rangkaian
perniagaan di Toronto (Kanada) dan Boston (Amerika Syarikat) dan
memerlukan komunikator berbahasa Inggeris sendiri. - Bernama

2 comments:

  1. assalam .. laman web untuk isi borang ke Asrama Semai Bakti apa ??

    ReplyDelete
  2. assalam ... laman web untuk isi borang ke asrama semai bakti apa ?

    ReplyDelete